Titipan Bicara Ayahanda Pengetua

Font:

Titipan Bicara Ayahanda Pengetua buat semua warga SMA Al-Maarif

 

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt…..

 

            Alhamdulillah, sejuta kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaan dan keizinanNya, kita masih diberikan ruang untuk terus bernafas dalam melayari tahun 2013 ini. Syukur jua dipanjatkan pada Tuhan yang Maha Esa kerana mengurniakan ruang untuk saya menitipkan tinta bicara buat tatapan seluruh warga SMA Al-Maarif.

 

            Selamat Tahun Baru 2013 buat seluruh Staff Akademik, Staff Sokongan, anak-anak pelajar, serta seluruh warga SMA Al-Maarif. Ucapan selamat datang saya tujukan khas buat pelajar baru Tingkatan 1/2013 dengan harapan agar anak-anak pelajar dapat bersama-sama menghayati visi dan misi sekolah dalam usaha mentransformasikan pendidikan ke arah kecemerlangan. Sesungguhnya, tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama misi dan visi kita untuk menjadi sebuah sekolah yang terunggul dalam Kalangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di negeri Pahang. Matlamat yang kita canangkan bisa jua kita gapai melalui garapan tenaga padu seluruh warga pendidik dengan disokong oleh gandingan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komitmen berterusan daripada anak-anak pelajar. Saya yakin, gandingan kerjasama yang mantap dalam kalangan seluruh warga SMA Al-Maarif mampu menjadi pemangkin ke arah penjelmaan pencapaian yang lebih gemilang untuk tahun-tahun yang bakal mendatang.

           

Warga Al-Maarif yang budiman,

 

            Dalam mendepani cabaran dunia pendidikan yang kian menghambat, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman yang lalu kerana sesungguhnya, pengalaman banyak mendewasakan kita. Justeru, yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan perlulah dijadikan landasan dalam rangka membina kejayaan dan kegemilangan yang berterusan. Usaha murni ini wajar didokong oleh perencanaan program yang mampu memartabatkan ilmu dalam kalangan warga SMA Al-Maarif. Program-program penggarapan potensi yang dirancang oleh saf pentadbir sekolah wajarlah disokong oleh seluruh warga pendidik dalam usaha melonjakkan kecemerlangan SMA Al-Maarif agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah elit yang lain. 

           

            Berbicara soal kejayaan, semua orang mengimpikan kejayaan dalam hidup namun, untuk menggapainya bukanlah sesuatu yang mudah. Pepatah ada mengatakan, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Justeru, senario ini menampakkan kepentingan komitmen dan usaha semua pihak dalam usaha merencanakan matlamat kecemerlangan bersama. Kejayaan demi kejayaan yang berjaya kita lakarkan sepanjang tahun 2012 merupakan simbolik yang memaknakan kejayaan semua pihak yakni individu dan entiti dalam membentuk kesepakatan dan kesatuan hati warga SMA Al-Maarif.

 

            Akhir kalam, Saya menyeru kepada seluruh warga SMA Al-Maarif agar dapat berganding bahu meneruskan usaha murni merealisasikan misi kecemerlangan sekolah demi memartabatkan SMA Al-Maarif sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul menyinar. Saya yakin dan percaya, fajar kejayaan akan sentiasa menyinari warga SMA Al-Maarif. Saya mendoakan agar semua warga SMA Al-Maarif terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan perjuangan merealisasikan sebuah impian ke puncak kejayaan.

 

            Sekian, Assalamualaikum wbt ….

 

Daripada ;

 

Pengetua,

SMA Al-Maarif.

MAKLUMAN @ AL-MAARIF

MEMORI D'AL-MAARIF

002689468

We have 28 guests and no members online

 

 

HUBUNGI KAMI

SEKOLAH MENENGAH AGAMA AL-MAARIF

FELDA BUKIT GOH
26050 KUANTAN, PAHANG DARUL MAKMUR

Tel: +(609) 547 6151
Fax: +(609) 547 6170

Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Last Update:
General update: 20/12/2016 00:45

     
     
   

 
 
  

PKG Teruntum
PKG Pantai
PKG Jaya Gading
PKG Sungai Lembing
PKG ...